Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan menerima junjung ziarah jemaah haji negara
01/05/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada 992 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Musim Haji Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi.

Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini. Dari jumlah tersebut, seramai 472 bakal jemaah haji lelaki, manakala seramai 520 bakal jemaah haji perempuan.

Jumlah tersebut adalah termasuk Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Pentadbiran dan Perubatan) dan juga pegawai pengiring syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Sebelum Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah, bakal jemaah haji negara menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan menikmati jamuan tengah hari.

Pada majlis tersebut, bakal jemaah haji negara menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berupa pakaian ihram bagi bakal jemaah haji lelaki dan telekung bagi bakal jemaah haji perempuan.

Bagi musim haji tahun ini, terdapat enam buah syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji iaitu Darussalam Services Sdn.Bhd.; Straits Central Agencies (B) Sdn.Bhd.; At-Taqwa Travel Tours Sdn.Bhd.; Al-Hijrah Travel & Tours Sdn.Bhd.; Dar El-Ehsan Travel Sdn.Bhd. dan Raudah Al-Amin Sdn.Bhd. Penerbangan bakal jemaah haji negara akan bermula pada 15 hingga 18 Mei nanti.

Sumber berita Pelita Brunei 
Sumber foto InfoFoto